Pelakon belum umum, 5,000 tiket terjual

KUALA LUMPUR: Jenama Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL2020) masih meraih kepercayaan penonton apabila lebih 5,000 tiket terjual untuk pementasan semula muzikal berkenaan, Julai depan.



Penerbit dan pengarah PGL2020, Puan Sri Tiara Jacquelina berkata, beliau terharu penonton memberi sokongan walaupun barisan pemegang watak utama belum diumumkan.


“Jualan 5,000 tiket diperoleh sejak minggu lalu. Saya percaya jumlah semakin meningkat sejak tiket mula ditawarkan, bulan lalu.


“Ini membuktikan penonton teruja menyaksikan PGL2020 walaupun mereka tidak tahu siapa pelakonnya,” katanya kepada BH Online.


Tiara berkata, lebih menyeronokkan, pementasan kali ini dapat menarik penonton baharu, selain peminat yang menggemari muzikal ini.


“Ada antara pembeli tiket memberitahu, mereka kecil ketika PGL dipentaskan. Mereka ingin menonton selepas mendengar cerita ibu.


“Malah, ada penonton tiga generasi mahu datang menyaksikan muzikal ini. Situasi ini menyuntik semangat untuk menghasilkan karya terbaik untuk pementasan semula nanti,” katanya.


PGL musim pertama dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada Februari 2006. Ia menampilkan lakonan Tiara sebagai Gusti Puteri Retno Dumilah; Stephen Rahman-Hughes (Hang Tuah) dan Adlin Aman Ramlie (Sultan Melaka).


Sejak PGL2020 diumumkan, Tiara mengaku berdepan cabaran terutama mencari pelakon utama muzikal berkenaan.


“Tidak dinafikan ramai pelakon yang datang ke sesi uji bakat termasuk aktor dikenali. Namun, agak sukar mencari mereka yang menepati kriteria dikehendaki seperti boleh berlakon, menyanyi dan menari.


“Ada yang boleh berlakon dan menyanyi tetapi tidak boleh menari. Saya masih meneruskan pencarian.


“Saya agak cerewet kerana mahu penonton yang datang berpuas hati dengan apa yang disajikan. Saya berusaha memberi yang terbaik untuk muzikal ini,” katanya.


PGL2020 antara persembahan yang bakal mengisi slot di IB untuk kalendar 2020.


BH Online, 15 Januari 2020

156 views

#PGLMusical

  • Facebook
  • Instagram
  • Black Twitter Icon
  • YouTube

©2020 by Enfiniti (M) Sdn. Bhd. www.enfiniti.com.my

pglthemusical@gmail.com Enfiniti (M) Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Malaysia