Lama pendam hasrat

SEMUA artis memiliki impian yang ingin dikecapi dalam bidang seni tanah air. Begitu juga dengan pelakon dan pengarah popular Zul Huzaimy Marzuki.



Menurut Zul Huzaimy, 41, antara impiannya yang belum kesampaian ialah beraksi dalam pementasan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM) terbitan Enfiniti Productions.


“Sudah lama saya menyimpan impian untuk beraksi dalam produksi mega seperti PGLM yang mencetuskan fenomena itu. Watak yang diimpikan ialah Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah yang pernah dilakonkan Adlin Aman Ramlie,” katanya.


Zul Huzaimy berkata, dia juga sudah menghadiri proses uji bakat yang dijalankan produksi untuk watak terbabit.


“Puan Sri Tiara Jacquelina menghantar mesej meminta saya menghadiri sesi uji bakat itu sebelum ini. Saya juga sudah memberikan yang terbaik ketika uji bakat watak sultan ketika itu.


“Selepas selesai uji bakat, saya juga menerima mesej WhatsApp untuk menyertai bengkel PGLM selama tiga hari sebelum ini. Namun, saya tidak dapat berbuat demikian kerana terikat dengan penggambaran drama Suri Katriana ketika itu,” katanya.


Bagaimanapun, kata Zul Huzaimy, dia menolak jika ditawarkan watak lain dalam PGLM.


“Saya memang nak bekerja di bawah produksi Enfiniti Production kerana mereka bertaraf antarabangsa. Malah, saya sanggup menunggu 10 tahun lagi untuk bekerjasama dengan produksi mereka,” katanya.


PGLM diangkat daripada filem epik Puteri Gunung Ledang arahan Saw Teong Hin pada 2004.


Manakala, versi muzikal PGL pula dipentaskan kali pertama di Istana Budaya pada Februari 2006.


Teater muzikal ini diterajui barisan pelakon terkenal iaitu Tiara sebagai Puteri Gunung Ledang, Adlin Aman Ramlie (Sultan Mahmud), Stephen Rahman-Hughes (Hang Tuah) dan Datuk AC Mizal (Raja Majapahit).


MyMetro RAP, 21 Disember 2019

0 views
  • Facebook
  • Instagram
  • Black Twitter Icon
  • YouTube

©2020 by Enfiniti (M) Sdn. Bhd. www.enfiniti.com.my

pglthemusical@gmail.com Enfiniti (M) Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Malaysia