Belum umum pelakon, tiket dah laris

WALAUPUN nama pelakonnya belum diumumkan lagi, tetapi lebih 5,000 tiket pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL) yang akan berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 3 Julai hingga 3 Ogos ini sudah terjual.



Penerbit dan pengarahnya, Puan Seri Tiara Jacquelina berkata, pihaknya masih dalam proses uji bakat pelakon dan senarai pelakon akan diumumkan Februari ini.


"Ia sesuatu yang tak pernah berlaku. Kami sengaja buat publisiti awal untuk PGL iaitu 1 Disember lalu dan tak sangka sambutannya begini. Bayangkan, pelakon belum diumumkan lagi tetapi orang sudah mula beli tiket. Saya rasa mereka datang kerana jenama PGL itu.


"Saya rasa orang teruja nak tengok PGL dipentaskan semula. Menariknya, orang yang sudah tengok berkali-kali sebelum ini pasti akan datang menonton lagi.


"Begitu juga mereka yang dulunya masih kanak-kanak, turut berminat nak tengok lagi. Mereka dengar cerita ibu bapa berkenaan PGL dan berminat nak datang apabila sudah dewasa," katanya.


Menurutnya, pertukaran pelakon untuk musim ini langsung tidak menjejaskan minat penonton terhadap PGL


"Mereka sedia maklum barisan pelakon teater akan bertukar dan barisan pelakon pun belum diumumkan lagi. Agak susah untuk saya cari pelakon kerana ada yang boleh menari tapi tak boleh menyanyi. Ada yang boleh menyanyi tapi tak boleh menari pula.


"Pada saya, paling penting ialah mereka boleh bawa watak yang diberikan dan penonton puas hati," katanya.


Tiara berkata, populariti PGL turut menarik peminat dari Singapura untuk menonton serta kedutaan Malaysia di luar negara.


“Apabila kedutaan kita di luar negara antaranya Australia tahu PGL akan kembali, mereka tanya bolehkah bawa ke sana. Harapnya ada rezeki PGL untuk dibawa menjelajah," katanya.


Dalam pada itu, Tiara mengakui ketika ini pementasan teater mula menarik perhatian pelakon-pelakon popular untuk turut sama membintanginya.


"Dulu agak susah nak ajak pelakon sertai teater. Sekarang semua termasuk nama popular menghantar mesej nak cuba sesi uji bakat. Setakat ini sudah 300 pelakon datang sertai uji bakat dan saya akan pilih yang terbaik," katanya.


Sebelum ini teater PGL pernah dipentaskan pada Februari 2006 yang menampilkan lakonan, Adlin Aman Ramlie, Stephen Rahman-Hughes dan Tiara sendiri.


MyMetro RAP, 14 Januari 2020

8 views

#PGLMusical

  • Facebook
  • Instagram
  • Black Twitter Icon
  • YouTube

©2020 by Enfiniti (M) Sdn. Bhd. www.enfiniti.com.my

pglthemusical@gmail.com Enfiniti (M) Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Malaysia